PETALING JAYA : Peratusan populasi dewasa lengkap divaksinasi kini menghampiri 90 peratus apabila semalam merekodkan 87.6 peratus.
Perkembangan itu menyaksikan tinggal 2.3 peratus bagi mencapai 90 peratus sejajar janji kerajaan untuk membuka semula kelonggaran rentas negeri yang disekat sejak Januari lalu.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti ke mana-mana destinasi dalam tanah air sejak lebih 10 bulan tidak berjumpa dengan keluarga termasuk meraikan perayaan bersama sanak-saudara.
Menurut laman web Covidnow.moh.gov.my, sehingga pukul 11.59 malam tadi, sebanyak 87.6 peratus atau 20,513,168 penduduk dewasa telah lengkap divaksin manakala 94.3 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurang satu dos.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, penetapan 90 peratus vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri dibuat adalah bagi memastikan semua negeri berpeluang diberi kelonggaran sama.
Beliau percaya tempoh untuk membenarkan rentas negeri sudah semakin hampir dan terus diumumkan sebaik sahaja negara mencapai 90 peratus vaksinasi.- UTUSAN ONLINE