Tiga pos Orang Asli di Pahang tamat PKPD mulai esok

Tiga pos Orang Asli di Pahang tamat PKPD

KAWASAN Pos Sinderut didiami lebih 5,000 penduduk daripada 1,100 keluarga Orang Asli kalangan etnik Semai. – FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 41 hari dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tiga buah pos Orang Asli di Pahang bakal ditamatkan sekatan tersebut serentak pada esok.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, antaranya ialah Pos Siderut, Mukim Ulu Jelai, Daerah Lipis yang diwartakan PKPD sejak 12 September.

Pos tersebut mengandungi sejumlah 14 buah perkampungan masyarakat Orang Asli etnik Semai yang melibatkan seramai lebih 5,000 orang penduduk daripada kalangan 1,100 keluarga meliputi Tual, Bukit Long, Blau, Rangan, Janggap, Cherong, Labu, Bertang, Kuala Sinderut, Kabang, Regang, Tidol, Tigol dan Saweh yang terletak di simpang Jalan Raub-Sungai Koyan.

Beliau menambah, turut berakhir PKPD secara serentak esok seperti dijadualkan pihak MKN ialah Pos Lenjang dan Pos Titom dalam mukim sama yang diwartakan sejak 26 September lalu.

Dua pos berkenaan yang didiami lebih 1,000 orang komuniti Orang Asli juga dari suku kaum Semai, seperti Pos Sinderut menerima penularan Covid-19 daripada Kluster Dusun Pak Senam.

Pos Lenjang mengandungi 14 kampung iaitu Kenderong, Bandar, Lenjang, Rakoh, Talut, Sop, Pagar, Tungau, Sungai Jelai, Sungai Cheang, Simoi Lama, Gempoh, Ngening dan Churuk.

Sementara lokaliti jirannya, Pos Titom pula agak kecil dengan hanya melibatkan sebanyak lima buah perkampungan iaitu Kampung Titom, Jernang, Cincin, Sungai Cherues dan Sempar.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, kluster komuniti itu yang mula dikesan di Kampung Dusun Pak Senam pada 5 September lalu sudah menjangkiti seramai 1,140 orang.

Namun, trend kes berkurangan kerana penduduk di tiga pos ini sudah pun menjalani proses vaksinasi dos tunggal jenis Cansino menerusi Program Outreach pada awal September lepas.

Rodzi bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada lokaliti baharu di negara ini yang akan dilaksanakan PKPD atau kawasan sedia ada bakal disambung lagi sekatan bersasar itu esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya