KUALA TERENGGANU: Kebanyakan emas 916 yang dijual di premis-premis di negara ini adalah tulen dan tiada sebarang penyelewengan dikesan.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, penemuan itu hasil empat siri pemeriksaan ketulenan logam berharga yang dijalankan pihaknya di premis-premis di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor dan di negeri ini.
Katanya, berdasarkan pengujian ke atas gelang, cincin, loket, rantai dan subang dengan menggunakan alat XRF mendapati bacaannya adalah antara 91.6 hingga 95.4 peratus sekali gus membuktikan emas 916 yang dijual adalah tulen.
“Hari ini kita melakukan pemeriksaan di 25 premis barangan kemas di sekitar Pasar Payang 2 serta pusat beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan didapati semuanya mengikut standard ditetapkan.
“Ada sebahagian premis yang kandungan emasnya melebihi ketulenan yang diisytiharkan misalnya, ditandakan sebagai 916 tetapi pengujian mendapati ia adalah 951. Perkara itu tidak menjadi kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan dan pengujian emas di sebuah premis barangan kemas di KTCC, di sini hari ini.
Azman berkata, pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada empat pegawai bertauliah kini giat melakukan pemeriksaan secara proaktif di kedai-kedai emas bagi mengesan mutu ketulenan logam berharga itu sekali gus memberi peringatan kepada peniaga agar tidak menjual emas di bawah standard diisytiharkan.
Bagaimanapun, katanya, bagi peniaga emas secara dalam talian yang tidak mempunyai premis perniagaan, pemeriksaan sukar dilaksanakan, maka pengguna diminta lebih berwaspada dalam menjalankan sebarang urusniaga.
Dalam pada itu, menurut beliau, sebanyak 42 kes berkaitan emas 916 dikesan pihaknya dari 2019 hingga kini dengan nilai rampasan sebanyak RM53,463 manakala denda RM20,000 dikenakan kepada syarikat dan individu.
Katanya, sepanjang tahun ini, sebanyak 11 aduan diterima pihaknya dengan sembilan kes sudah diambil tindakan melibatkan rampasan bernilai RM3,950. – UTUSAN ONLINE