[PARLIMEN] Tiada keperluan wujud gelembung pelancongan domestik lain - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Tiada keperluan wujud gelembung pelancongan domestik lain

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada lagi keperluan untuk mewujudkan gelembung-gelembung pelancongan domestik yang lain.

Demikian ditegaskan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, kerana Perdana Menteri pada 10 Okober lalu telah membenarkan aktiviti rentas negeri hasil daripada kejayaan negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus populasi dewasa.

“Ini tentunya membawa khabar yang lebih baik kepada industri pelancongan negara kerana sebagai industri yang sangat bergantung kepada mobiliti atau pergerakan, kebenaran rentas negeri untuk tujuan pelancongan ini tidak lagi membataskan pergerakan dan destinasi pilihan yang terhad untuk rakyat Malaysia melancong di dalam negara.

“Justeru, susulan pengumuman kebenaran rentas negeri tersebut, maka pada masa ini, tiada lagi keperluan untuk mewujudkan gelembung-gelembung pelancongan domestik yang lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjung Manis) meminta kerajaan menyatakan apakah perancangan untuk memperkenalkan gelembung pelancongan ke Sarawak sebagaimana yang telah dimulakan di Pulau Langkawi.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, bagi tempoh 16 September sehingga 15 Oktober lalu, Pulau Langkawi menerima kemasukan seramai lebih 100,000 pelawat dari seluruh negara.

“Kegiatan aktiviti pelancongan yang kembali aktif memberi impak positif bukan sahaja kepada entiti perniagaan pelancongan semata-mata, malah limpahan ekonomi hasil daripada aktiviti ini serta sektor rantaian turut membawa perkembangan yang baik kepada masyarakat setempat,” katanya.

Bercakap mengenai Gelembung Pelancongan Antarabangsa pertama negara bermula 15 November nanti, Nancy berkata, kementerian kini dalam fasa akhir melaksanakan persediaan untuk menyambut kembali ketibaan pelancong asing ke Langkawi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN