MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin tidak akan membenarkan ceramah dan jelajah mesra (walkabout), sebaliknya segala bentuk kempen perlu dibuat secara dalam talian menggunakan media sosial.
Itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang sedang diperhalusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
Beliau berkata, justeru, satu SOP khas menghadapi pelaksanaan PRN juga akan dikeluarkan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Jelasnya, SOP khas berkenaan merupakan penambahbaikan yang akan dilakukan kepada garis panduan ditetapkan SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kempen serta hari pengundian.
“Kita akan kaji SOP yang dikeluarkan SPR, kalau ada penambahbaikan kita akan buat di peringkat Mesyuarat Pengurusan Covid-19 negeri minggu hadapan.
“Kita ada masa lagi, ada SOP khas (negeri). SOP SPR ini termasuklah ceramah dan walkabout tidak dibenarkan serta ceramah kempen dibuat menggunakan media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, di sini hari ini.
Tambahnya, perkara lain yang ditetapkan adalah, ceramah kempen dilakukan menggunakan pembesar suara daripada kenderaan dalam tempoh 5 hingga 7 minit.
“Apabila orang mula berkumpul, kenderaan tersebut perlu bergerak, itu antara SOP khas yang akan dimaklumkan.
“SOP ini akan diteliti dan diperkemaskan lagi untuk memastikan kejadian di Sabah tidak berulang lagi,” jelasnya. – UTUSAN











