KOTA BHARU: Ketika harga ayam dikatakan naik mencanak kebelakangan ini, pasangan suami isteri di Kampung Kubang Palas, Banggu di sini, masih berani menjual set nasi ayam lengkap pada harga RM1.90 sebungkus.
Tindakan Rosli Salleh, 45, dan Wan Roslina Wan Roslan, 43, berniaga nasi ayam dengan harga tidak masuk akal membuatkan menu itu tular di aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu, sekali gus menjadikan perniagaan mereka semakin laris.
Ketika tinjauan hari ini, pasangan yang mengusahakan kedai makan di depan rumah mereka dilihat tidak menang tangan menyediakan hidangan tersebut bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Rosli berkata, setiap hari dia perlu keluar seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli bahan mentah sebelum diserahkan kepada isterinya untuk dimasak
“Memang harga ayam naik ketika ini namun set nasi ayam kami kekal RM1.90 sebungkus. Niat saya dan isteri sejak mula berniaga ialah mahu orang ramai yang terkesan pandemik boleh menikmati nasi ayam kami.
“Walaupun jual murah, kami tetap untung cuma marginnya mengecil selepas harga ayam naik. Paling penting, saya gembira ramai dapat menjamah hidangan ini dan mereka berpuas hati saiz hidangan sepadan dengan harga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Rosli memberitahu, mereka sebenarnya mula berniaga nasi ayam murah itu sejak Oktober tahun lalu sebelum perniagaan mereka berkembang hingga mampu menjual sebanyak 600 bungkus nasi ayam sehari.
Selain nasi ayam, kedai makan pasangan suami isteri tersebut turut menjual pelbagai hidangan lain dengan harga berpatutan seperti seperti laksa pinang, pulut ikan rebus, nasi air, bihun, mee celup, chicken chop dan sosej bakar.
Hidangan nasi ayam dapat dinikmati pelanggan seawal pukul 9.30 pagi setiap hari. – UTUSAN