GEORGE TOWN: Perundingan pembahagian kerusi melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor masih belum dimuktamadkan.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini, proses rundingan itu masih berlangsung dan ia turut melibatkan kerjasama dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Belum, belum. Proses (rundingan) masih berjalan,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pemerhati politik sebelum ini meramalkan PRN Johor dan Melaka dijangka berlangsung pada suku keempat tahun ini, iaitu sekitar Oktober hingga Disember depan atau mungkin lebih awal lagi iaitu menjelang pertengahan tahun ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, keutamaan parti ketika ini bukan sekadar perebutan kerusi semata-mata, sebaliknya, usaha memperkukuh kestabilan politik negara dan negeri melalui kerjasama dalam kalangan parti kerajaan perpaduan.
Katanya, setiap perbincangan agihan kerusi perlu dilaksanakan secara tertib dan berasaskan prinsip kesepakatan bagi mengelakkan pertindihan kawasan serta pertembungan sesama rakan gabungan.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Amanah Pulau Pinang berkata, Amanah negeri kekal dengan sasaran untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen, namun, beliau enggan mendedahkan perincian tersebut buat masa ini.
Menurutnya, rundingan kerusi akan dilakukan secara adil dan signifikan dalam kalangan parti-parti komponen bagi memastikan pembentukan kerajaan yang kukuh. – UTUSAN










