Terima wang perlindungan RM10,320, lima polis dituduh SPRM esok - Utusan Malaysia

Terima wang perlindungan RM10,320, lima polis dituduh SPRM esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terima wang perlindungan antara RM400 sehingga RM3,000 setiap seorang.

Itu nilai suapan yang diperoleh seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disyaki meminta wang perlindungan daripada seorang lelaki yang juga tokan dadah di sebuah daerah di Sabah.

Tindakan kesemua mereka terdiri seorang pegawai berpangkat Inspektor dan masing-masing seorang anggota berpangkat Koperal, Lans Koperal, Sarjan dan Konstabel bagaimanapun terbongkar selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sabah.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kesemua suspek dipercayai telah menerima wang perlindungan dengan nilai keseluruhan disyaki RM10,320 sejak 2014 sehingga 2018.

Kata sumber itu, mereka yang bertugas di Jabatan Narkotik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud disyaki telah menerima wang terbabit melalui akaun bank dan secara tunai.

“Wang terbabit adalah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki selepas dia ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Kesemua mereka berusia di antara 29 sehingga 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu, Sabah esok,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, beberapa pegawai dan anggota polis di beberapa daerah di Sabah juga dikatakan sudah berada dalam ‘radar’ SPRM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sama.

“Mungkin ada beberapa lagi tangkapan dan pertuduhan lain akan dilakukan SPRM dalam masa terdekat ini terhadap pegawai dan anggota PDRM kerana disyaki terlibat dalam meminta wang perlindungan daripada individu tertentu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN