GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah kumpulan bantuan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai sebuah misi kemanusiaan yang ‘gagal’.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke berkata, operasi bantuan terhenti kerana GHF gagal menyalurkan bantuan dengan selamat kepada mereka yang memerlukan.
“Saya rasa adalah adil untuk saya katakan, GHF sudah menjadi satu kegagalan besar dari sudut prinsip kemanusiaan.
“Mereka tidak menjalankan apa yang sepatutnya dilakukan oleh operasi kemanusiaan iaitu menyalurkan bantuan kepada orang awam di tempat mereka berada, secara selamat dan terjamin,” kata Laerke kepada wartawan di Geneva.
PBB serta beberapa organisasi bantuan utama enggan bekerjasama dengan GHF atas alasan ia lebih mengutamakan kepentingan ketenteraan Israel berbanding keperluan kemanusiaan sebenar.
GHF merupakan sebuah pertubuhan swasta baharu yang memulakan operasinya pada 26 Mei lalu, selepas Israel menutup sepenuhnya laluan bekalan ke Gaza selama lebih dua bulan, situasi yang mencetuskan amaran risiko kebuluran besar-besaran.
GHF mendakwa sudah mengagihkan lebih 18 juta hidangan makanan sejak itu.
Namun, pada Jumaat, sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel, menurut sumber perubatan.
Wartawan Al Jazeera, Tariq Abu Azzoum yang melaporkan dari Deir el-Balah berkata, tentera Israel sedang melancarkan operasi darat di sekitar Khan Younis di selatan Gaza.
“Tentera Israel sedang memperluas operasi darat dan turut berlaku pertempuran sengit di bahagian timur bandar itu,” katanya.
Wilayah Gaza yang dikepung itu masih berada dalam keadaan sekatan komunikasi untuk hari kedua berturut-turut.
Hamas mengecam tindakan Israel memutuskan talian komunikasi di Gaza dan menyifatkannya sebagai langkah agresif baharu dalam perang pemusnahan terhadap rakyat Palestin.
Israel juga terus mengarahkan orang awam berpindah ke kawasan digelar zon selamat di al-Mawasi, kawasan pantai tandus tanpa infrastruktur asas yang juga sudah beberapa kali menjadi sasaran pengeboman.
Serangan dron ke atas sebuah khemah di kawasan itu pada Jumaat membunuh sekurang-kurangnya dua orang.
“Serangan ini menyebabkan orang awam menjadi keliru dan tidak tahu ke mana harus pergi untuk mendapatkan perlindungan yang selamat,” kata Tariq.









