PUTRAJAYA: Tempat kerja mencatatkan 10 kluster Covid-19 daripada 14 kluster, hari ini, dengan dua komuniti manakala kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan swasta, masing-masing satu kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempat kerja melibatkan tiga di Johor; Kedah dan Selangor masing-masing dua kluster manakala Kelantan, Pahang dan Perak, masing-masing satu kluster.
“Komuniti pula, dua di Kelantan manakala satu kumpulan berisiko tinggi di Perlis dan satu pendidikan swasta di Selangor.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 956 kluster manakala 4,580 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 8,817 kes berbanding semalam, 8,075 kes sekali gus terus diatasi 15,615 kes sembuh manakala 851 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 395 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, tiga negeri mencatatkan kes melebihi 1,000 iaitu Sarawak mendahului dengan 1,361 kes, Selangor (1,348) dan Kelantan (1,063).
“Sebanyak 10 negeri mencatatkan kes di bawah 1,000 iaitu Johor (886), Sabah (805), Pahang (696), Pulau Pinang (595), Kedah (576), Perak (473), Terengganu (356), Melaka (246), Kuala Lumpur (217) dan Negeri Sembilan (122).
“Tiga kawasan terus catat bawah 100 kes iaitu Perlis dengan 47 kes, Putrajaya (23) manakala Labuan hanya tiga kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku penurunan mendadak sebanyak 76 kes berbanding kelmarin, 118 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini yang berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,759 kes.
Sebanyak 15 daripada 76 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,382 kes. – UTUSAN ONLINE