Tambahan 90 hektar buka TKPM ke-19 di Pahang - Utusan Malaysia

Tambahan 90 hektar buka TKPM ke-19 di Pahang

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri meluluskan tambahan tanah seluas 90 hektar di Tanjung Putus, dekat sini, bagi tujuan membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, TKPM tersebut merupakan yang ke-19 di negeri ini dan sekali gus menjadikan keluasan tanah dikhususkan untuk projek itu kira-kira 5,282.85 hektar.

Menurutnya, secara tidak langsung telah menjadikan negeri ini sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di seluruh negara.

“Tanah di Tanjung Putus yang diluluskan adalah melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang turut diluluskan untuk ditanami sayur-sayuran dan tanaman kontan.

“Peserta yang akan dipilih kelak antaranya ialah dalam kalangan belia antara 18 tahun dan 40 tahun, sama ada lepasan sijil, diploma mahupun ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian.

“Begitu juga dalam kalangan rakyat di bawah kategori B40, dalam lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, menerusi fasa satu, peserta akan diberi keluasan minimum 0.4 hektar sehingga maksimum satu hektar setiap seorang. 

“Bagi fasa dua pula, peluasan tapak akan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri. 

“Adalah diharapkan dengan kelulusan TKPM termasuk di Tanjung Putus, dapat meningkatkan pengeluaran makanan di negeri dan negara ini, sambil membantu menambah pendapatan kepada peserta dalam kalangan rakyat yang memerlukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN