BIRMINGHAM: Bruno Fernandes dijangka berehat panjang selepas mengalami kecederaan otot paha ketika tewas 2-1 kepada Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
Pada aksi di Villa Park itu, Morgan Rogers menjaringkan dua gol untuk menghadiahkan kekalahan kepada The Red Devils yang mendapat gol tunggal Matheus Cunha.
Mengulas lanjut, pengendali United, Ruben Amorim bimbang kapten pasukan, Fernandes terpaksa berehat panjang, dia memulakan setiap perlawanan EPL musim ini.
Fernandes, 31, pada awalnya meneruskan permainan selepas kelihatan mengalami masalah pada otot paha sejurus sebelum rehat tetapi dia tidak kembali beraksi pada separuh masa kedua.
Amorim mengesahkan bintang berpengaruh itu tidak akan diturunkan dalam aksi Boxing Day menentang Newcastle, selain meragui kesediaannya untuk baki jadual padat Krismas dan Tahun Baharu.
“Ia kecederaan tisu lembut. Saya rasa dia akan terlepas beberapa perlawanan. Saya tidak pasti sepenuhnya, jadi kita tunggu dan lihat.
“Kita tidak pernah dapat mengawal perkara seperti ini. Dia seorang pemain yang sentiasa cergas, jadi mungkin dia boleh pulih dengan baik, tetapi saya tidak tahu,” katanya.
Masalah kecergasan Fernandes menambah kerunsingan Amorim, dengan pemain tengah England, Kobbie Mainoo turut terlepas aksi menentang Villa akibat kecederaan betis.
Mainoo berpeluang membuat penampilan sulung Liga Perdana musim ini menentang Newcastle, namun kini dijangka turut terlepas perlawanan itu.
“Saya akan lihat apa yang kami boleh lakukan. Saya fikir Kobbie Mainoo tiada, Bruno juga tiada, jadi kita akan cari penyelesaian. Tiada alasan.
“Kami perlu menang perlawanan seterusnya dan kami akan cuba menang perlawanan seterusnya, jelas Amorim.
Walaupun Casemiro kembali daripada penggantungan untuk perlawanan menentang Newcastle, Bryan Mbeumo, Amad Diallo dan Noussair Mazraoui berada di Piala Negara-Negara Afrika manakala Matthijs de Ligt dan Harry Maguire juga masih tersisih.
Krisis pemilihan pemain ini mencetus persoalan berkenaan potensi pembelian baharu pada jendela perpindahan Januari, namun Amorim menegaskan dia tidak mahu panik.
“Kami perlu hadapi situasi ini. Apa yang kami tidak boleh lakukan ialah sampai Januari dan cuba buat semuanya secara tergesa-gesa, melakukan kesilapan, kemudian ‘ulang lagi’ dengan lebih banyak kesilapan.
“Saya tidak akan kata ‘kami perlukan ramai pemain’ kerana kami ada perancangan. Jika kami perlu menderita, kepentingan kelab didahulukan.
“Sudah tentu kami berada dalam situasi memerlukan mata, tetapi kami perlu cari penyelesaian dan kami akan teruskan dengan perancangan kami,” ujarnya.- AGENSI/UTUSAN










