KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menghabiskan baki hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di Penjara Kajang dan bukannya di rumah.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching semalam memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
“Pelaksanaan prerogatif pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mestilah dibuat dengan mematuhi prosedur yang diperuntukkan dalam peruntukan itu. Perkara 42 telah menetapkan proses (dalam) membuat keputusan bagi pelaksanaan kuasa pengampunan.
“Hanya dengan pematuhan penuh terhadap keperluan Perlembagaan, barulah sesuatu perintah yang dikeluarkan boleh dianggap sah. Walaupun kuasa pengampunan adalah prerogatif diraja, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan supaya ia dilaksanakan dalam rangka Perlembagaan,” kata hakim itu.
Tambah Hakim Yee Ching, walaupun kuasa pengampunan adalah prerogatif Agong, baginda tidak boleh melakukannya secara sendirian.
“Pelaksanaan kuasa pengampunan tersebut oleh YDPA bukanlah bersifat mutlak. YDPA sebagai Raja Berperlembagaan (perlu) melaksanakan kuasanya tertakluk kepada Perlembagaan.
“Tiada langsung perbincangan mengenai tahanan rumah. Oleh itu, jelas bahawa perintah tahanan rumah tidak dibincangkan dan tidak mendapat nasihat Lembaga Pengampunan dan dengan itu tidak mematuhi prosedur Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, ia bukan suatu perintah yang sah.
“Apabila dilihat secara keseluruhan, YDPA tidak boleh membuat keputusan di luar Mesyuarat Lembaga Pengampunan. Dengan kata lain, YDPA tidak boleh membuat keputusan secara bebas tanpa Lembaga Pengampunan,” kata Hakim Yee Ching.
Selain itu, Hakim Yee Ching menyatakan, perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang memperuntukkan mekanisme sedemikian.
Tambahnya, peruntukan Seksyen 43 Akta Penjara 1995 yang didakwa menyentuh mengenai kaedah pelaksanaan tahanan di rumah adalah sebenarnya terletak dalam bidang kuasa Komisioner Jeneral Penjara dan bukannya Lembaga Pengampunan.
“Peguam responden berhujah bahawa kaedah pelaksanaannya diperuntukkan di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995 yang menyentuh mengenai pelepasan berlesen (release on license). Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 memperuntukkan mengenai pelepasan banduan secara lesen dan syarat kebenaran keluar dan bentuk lesen hendak dinyatakan dalam Jadual Kedua.
Borang dalam Jadual Kedua yang dirujuk dalam Peraturan 111 subperaturan (2) dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Penjara kepada banduan bagi membenarkan pelepasan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalamnya.
“Berdasarkan tafsiran saya terhadap peruntukan-peruntukan yang berkaitan, pelepasan berlesen di bawah Seksyen 43 adalah suatu keputusan Komisioner Jeneral Penjara. Beliau melaksanakan budi bicaranya dan dalam berbuat demikian, diberi kuasa untuk mengenakan syarat-syarat pelepasan.
“Beliau (Komisioner Jeneral Penjara) menentukan tempoh pelepasan serta tempat yang perlu dituju oleh banduan tersebut. Tanpa menafikan pelepasan itu, banduan boleh dipanggil semula ke penjara pada bila-bila masa, dan dalam keadaan sedemikian, lesen tersebut akan terhenti berkuat kuasa,” ujar hakim itu.
Menurut Hakim Yee Ching, dalam pelepasan berlesen, Ketua Pengarah Penjara menentukan tempoh pelepasan.
Bagaimanapun, bagi Titah Adendum, tempoh tahanan rumah telah pun ditetapkan, sekali gus tidak meninggalkan sebarang budi bicara kepada Komisioner Jeneral Penjara.
“Beliau juga tidak diberikan sebarang budi bicara untuk memanggil semula pemohon ke penjara. Jelas sekali, perintah tahanan rumah dalam Titah Adendum adalah bercanggah dengan peruntukan-peruntukan berkaitan pelepasan berlesen.
“Pada pandangan saya, pelepasan berlesen merupakan suatu kuasa statutori yang diberikan secara eksklusif kepada Komisioner Jeneral Penjara sahaja,” katanya.
Selepas membaca penghakiman ringkasnya yang mengambil masa sejam, Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Sementara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dengan segera kerana keputusan berkenaan melibatkan isu Perlembagaan yang besar serta menyentuh kedudukan kuasa pengampunan Raja-Raja Melayu. – UTUSAN










