Tamatkan darurat beri laluan PRN Sarawak - Penganalisis - Utusan Malaysia

Tamatkan darurat beri laluan PRN Sarawak – Penganalisis

DICK LEMBANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak boleh mengadakan pilihan raya negeri (PRN) lebih awal dengan syarat darurat yang sedang dikuatkuasakan di negeri ini sehingga 2 Februari ditamatkan lebih awal.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang berkata melihat kepada perkembangan politik Melaka dan PRN Melaka yang akan diadakan, beliau percaya Sarawak juga ingin mengadakan PRN ke-12 lebih awal.

Katanya, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana Sarawak memang sudah berada di fasa endemik Covid-19.

“Bagaimanapun, langkah pertama yang perlu dilakukan sekiranya Sarawak berhasrat untuk mengadakan PRN ke-12 lebih awal adalah dengan menamatkan darurat di negeri ini lebih awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak perlu berbincang dan memaklumkan keputusannya kepada Yang Dipertuan Negeri Sarawak yang akan menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan darurat untuk memberi laluan kepada PRN ke-12 dalam masa terdekat.

“Saya percaya SOP (prosedur operasi standard) boleh dilaksanakan dengan pemantauan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana kita tidak boleh lari daripada mendepani wabak Covid-19,” tambah beliau.

Bagi PRN Melaka, Dick percaya satu keputusan yang dimuktamadkan SPR dengan mengambil kira pembubaran DUN Melaka yang berlaku kerana bebarapa ADUN menarik diri daripada menyokong kerajaannya yang sedia ada.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri ini mulai 2 Ogos tahun ini sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Menurut warta Kerajaan Persekutuan, Seri Paduka bertitah perisytiharan itu berikutan wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan,”titah Seri Paduka dalam warta berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya