MELAKA: “Tak mungkin saya call (buat panggilan) PM (Perdana Menteri) ataupun PM call saya.
“Sedangkan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Rauf (Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh) pun saya tidak pernah hubungi, ataupun dihubungi mereka,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron kepada Utusan Malaysia.
Idris berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kesahihan rakaman audio yang tular sejak semalam, didakwa perbualan telefon antara dirinya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan rakaman berkenaan, suara yang dipercayai milik Idris mendakwa, beliau mendapat banyak pujian termasuk daripada kalangan pemimpin UMNO, atas tindakan drastiknya mengumumkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
“Hari ini aku receive (terima) semua pujian, semua tahniah Datuk. Orang UMNO pun tahniah aku dan Haji Said very close to you. Datuk Said Yusof punya komen cukup sedap. Ini adalah akibat daripada kerakusan Rauf yang mengaut hasil ekonomi negeri dan mengagihkan kepada kumpulannya sahaja.
“Satu tahun setengah Adly (dipercayai Adly Zahari) sudah offer (tawar) aku. What you want me to do now?,” katanya.
Rakaman itu turut menyebut, suara didakwa milik Ismail telah meminta Idris menghentikan sementara gerakan menumbangkan kerajaan negeri.
“Kalau boleh hold (tahan) dulu, pasal akan effect (beri kesan) aku juga. Mereka akan kata macam mana Perdana Menteri tak boleh nak control (kawal),” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, berkuatkuasa serta merta.
Seperti yang diramalkan, gerakan untuk menggulingkan kerajaan tersebut diketuai Idris bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad. – UTUSAN ONLINE