Kapal perang Australia ganggu isyarat internet, radio di New Zealand - Utusan Malaysia

Kapal perang Australia ganggu isyarat internet, radio di New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Tentera Pertahanan Australia (ADF) mengakui sebuah kapal perang miliknya secara tidak sengaja mengganggu perkhidmatan internet tanpa wayar dan siaran radio di beberapa kawasan besar di Pulau Utara dan Selatan New Zealand awal minggu ini.

Insiden itu berlaku pada pagi Rabu lalu ketika kapal pengangkut amfibia, HMAS Canberra, satu daripada kapal terbesar milik Tentera Laut Diraja Australia dalam pelayaran menuju ke Wellington, di mana kapal tersebut akhirnya berlabuh pada Khamis.

Ketika HMAS Canberra menghampiri pantai New Zealand, radar navigasinya mengganggu isyarat radio dan wifi di kawasan yang luas, dari Taranaki di Pulau Utara sehingga ke wilayah Marlborough di Pulau Selatan.

Radar tersebut menggunakan frekuensi yang lazimnya digunakan oleh banyak penyedia internet dan stesen radio, menyebabkan para pengendali komersial terpaksa menghentikan siaran buat sementara waktu.

Gangguan tersebut dilaporkan bermula sejurus selepas pukul 2 pagi waktu tempatan.

Pasukan Pertahanan New Zealand segera menghubungi rakan sejawat mereka di Australia sejurus menerima laporan mengenai gangguan tersebut.

Pihak Tentera New Zealand turut memaklumkan isu tersebut kini dianggap selesai.

Sementara itu, pengurus dasar dan perancangan spektrum radio di Kementerian Perniagaan, Inovasi dan Pekerjaan New Zealand, Dan O’Grady menjelaskan negara itu mempunyai sistem pengurusan spektrum radio yang membenarkan penggunaan bersama dalam beberapa jalur spektrum tertentu, termasuk jalur percuma seperti Wifi dan Bluetooth.

“Gangguan yang berlaku pada Rabu itu dikesan dalam jalur spektrum yang dikongsi dan percuma untuk digunakan oleh sesiapa sahaja,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×