ALOR SETAR: Jumlah pengguna yang rendah terutamanya di beberapa kawasan luar bandar dipercayai menjadi punca syarikat-syarikat telekomunikasi tidak berminat membina menara telekomunikasi di kawasan tersebut.
Menurut Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di Kedah berdepan masalah capaian internet yang serius sehingga pengguna tidak dapat membuat panggilan video.
Malah, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Pengguna Kedah (CAKE) berkata, kunjungannya ke kawasan tertentu turut mendapati capaian internet yang terlalu lemah menyebabkan penghantaran mesej melalui aplikasi WhatsApp lambat sampai kepada penerima.
“Baru-baru ini, saya turun padang ke Kampung Charok Padang di Sik kerana mendapat aduan dari penduduk. Kawasan itu bukanlah tak ada isyarat langsung, tetapi, sangat lemah sehingga nak buat panggilan video pun tak boleh.
“Jadi, aduan itu kami bawa ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Menurut agensi berkenaan, memang ada perancangan untuk bangunkan menara telekomunikasi di kawasan berhampiran di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan kita mohon supaya dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Yusrizal menambah, kadar penggunaan yang rendah mungkin dilihat tidak mampu mendatangkan keuntungan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi menyebabkan mereka tidak berminat untuk membina menara di kawasan luar bandar.
“Disebabkan itu, kita terpaksa bergantung kepada dana kerajaan di bawah Jendela. Kalau diikutkan, keadaan di Kedah bukanlah teruk sangat kalau hendak dibandingkan dengan beberapa negeri lain antaranya Kelantan, Sabah atau Sarawak.
“Antara faktor yang menyebabkan capaian internet teruk adalah berkaitan dengan faktor topografi seperti bukit dan sebagainya. Namun, kita berharap agar semua pihak dapat berganding bahu kerana capaian internet pada masa sekarang sudah boleh dianggap sebagai perkara asas buat semua golongan,” katanya.- UTUSAN ONLINE