Syarikat francais tempatan tembusi antarabangsa - Utusan Malaysia

Syarikat francais tempatan tembusi antarabangsa

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta untuk melaksanakan program-program pengembangan francais Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam menyokong penglibatan rakyat dalam industri itu sebagai sumber kekayaan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 65 syarikat francais Malaysia menunjukkan prestasi memberansangkan di bawah jenama francais tempatan di persada antarabangsa dan berjaya mengembangkan perniagaan mereka melalui pembukaan lebih dari 3,000 outlet baharu di 66 buah negara. 

Beliau berkata, lima negara tertinggi berjaya ditembusi francais tempatan dengan bilangan outlet terbanyak ialah Arab Saudi, Indonesia, Amerika, Australia dan China.

“Dengan prestasi industri francais negara pada ketika ini, Malaysia mula mendapat tempat bagi pelabur-pelabur perniagaan francais antarabangsa. 

“Perkembangan ini mampu merealisasikan hasrat kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan francais antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2021 (FIM2021)  secara maya hari ini.

Alexander berkata, kementerian juga menggerakkan promosi melalui platform Expo Malaysia Digital Francais (MyDigiFex) serta FIM 2021 biarpun pergerakan keluar masuk negara terhalang disebabkan Covid-19.

Menurut beliau, kementerian juga diberikan peruntukan untuk menjalankan program-program pengembangan di peringkat domestik seperti siri jelajah Franchise Bay yang mana KPDNHEP membawa sekitar 15 syarikat francaisor serta agensi kerajaan ke seluruh Malaysia mempromosikan perniagaan francais kepada rakyat. 

“Kementerian juga diperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan program francais mikro dan mampu milik tahun ini,” katanya. 

Alexander berkata, sehingga hari ini, sebanyak 614 francaisor tempatan, 68 francaisi induk dan 408 francaisor asing berdaftar di bawah Akta Francais 1998.

Katanya, bilangan premis perniagaan yang beroperasi ialah sebanyak 13,017 premis dengan 5,419 adalah premis francaisor atau francaisi induk, manakala 7,599 adalah milik francaisi. 

“Industri ini memberikan pekerjaan yang stabil kepada lebih daripada 80,000 pekerja dengan anggaran sumbangan dan gaji melebihi RM1.4 bilion setiap tahun.

“Dalam membangunkan industri francais ini, kementerian melihat secara holistik, merangkumi golongan usahawan, golongan pendapatan isi rumah B40 sehingga kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.