Suspek belum lengkap vaksin cuba bawa ketum rentas negeri  - Utusan Malaysia

Suspek belum lengkap vaksin cuba bawa ketum rentas negeri 

TUJUH guni berisi daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah kereta di kawasan R&R Behrang arah selatan dekat Tanjung Malim, Perak,  kelmarin. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 60 kilogram (kg) daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah kereta di kawasan rehat dan rawat (R&R) Behrang arah selatan di sini, kelmarin.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 53 tahun pada pukul 11 malam itu dilakukan sepasukan anggota yang sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit berada dalam kereta jenis Toyota Camry.

Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan tujuh guni berisi daun disyaki daun ketum seberat 60 kg dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,400.

“Semakan lanjut mendapati, suspek yang dalam perjalanan dari Kedah ke Selangor itu belum lengkap dua dos suntikan vaksin tetapi telah membuat pergerakan merentas negeri. 

“Satu kompaun bernilai RM2,000 telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (PPN) 2021 iaitu rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan ke atas suspek mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

Katanya, suspek direman empat hari hingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN