SPRM anjur debat antirasuah IPT - Utusan Malaysia

SPRM anjur debat antirasuah IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2021 yang berlangsung bermula 22 Oktober ini.

Pertandingan berkenaan terbuka kepada 40 pasukan terawal yang mendaftar dalam kalangan IPT seluruh negara. 

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor berkata, objektif pertandingan tersebut adalah membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan lebih berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah serta integriti. 

“(Ia juga diharap) dapat mewujudkan mahasiswa yang mengangkat nilai ketelusan sebagai salah satu nilai teras kehidupan dan meraih sokongan mahasiswa dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya adalah anjuran bersama SPRM, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Program itu adalah aktiviti kali kedua dipertandingkan selepas pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) menjuarai pertandingan pada 2019 lepas. 

RAZIM MOHD. NOOR

Menurut Razim, sehingga kini, sebanyak 40 pasukan membabitkan seramai 140 peserta daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), institut pendidikan guru (IPG) dan institut pendidikan Mar (IPMa) sudah mengesahkan penyertaan.

Katanya, sambutan menggalakkan itu menunjukkan bahawa penglibatan serius penuntut IPT dalam penerimaan mesej antirasuah melalui pertandingan berkenaan.

“Pertandingan berlangsungempat hari sehingga 24 Oktober ini bagi pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir, manakala pertandingan akhir berlangsung di Dewan Serbaguna SPRM, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. 

“Pertandingan debat ini adalah wadah dalam mempraktikkan nilai integriti dalam berpasukan selain melahirkan mahasiswa yang kreatif dan intelektual ke arah negara bebas rasuah,” katanya. 

Tambah beliau, format pertandingan debat antirasuah kali ini menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan Asian Parliamentary atau Debat ala Parlimen. 

“Umumnya, format pertandingan ini menemukan dua buah pasukan terdiri daripada Pencadang atau Kerajaan dan Pembangkang yang terdiri daripada tiga pendebat utama dan satu pendebat simpanan,” katanya. 

Katanya lagi, juri-juri yang mengadili pertandingan itu juga terdiri dalam kalangan mereka yang memiliki kepakaran dalam seni pengucapan awam, gaya bahasa dan isu-isu semasa berkaitan rasuah. 

“Antara juri yang mengadili pertandingan ini adalah daripada MADUM, DBP dan SPRM. Ketua juri pertandingan pula adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Hakim Kelas Tertinggi MADUM.

“Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, naib juara RM3,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dengan RM1,500. 

“Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook dan Youtube MACCfm,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya