MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan cadangan masa pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, masa pengundian itu akan dipaparkan menerusi sistem aplikasi SPR sama seperti MySejahtera.
Kata beliau, pengundi disarankan memilih masa yang sesuai untuk membuang undi dan tidak berpusu-pusu ke pusat pengundian pada waktu pagi.
“Waktu pengundian agak panjang bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang. Kalau boleh waktu pagi untuk warga emas manakala pengundi muda pada sebelah petang.
“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, vaksinasi dan penjarakan sosial di pusat mengundi memang ketat dan tiada sebarang tolak ansur,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Doubletree By Hilton, Banda Hilir, di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.
Sementara itu, mengenai penglibatan jentera parti dari luar Melaka, Abdul Ghani berkata, agak sukar untuk melarang individu masuk ke negeri ini, memandangkan Melaka merupakan negeri pelancongan dan sentiasa dikunjungi orang ramai.
Jelasnya, pintu sempadan negeri baru sahaja dibuka dan Melaka juga bakal memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Secara umumnya kawalan kemasukan jentera parti dari luar agak sukar dilakukan kerana ramai yang datang ke Melaka untuk pelbagai tujuan.
“Mereka ini bukan sekadar berkempen tetapi juga turut merancakkan industri pelancongan negeri,” jelasnya. – UTUSAN










