MELAKA: Badan Perhubungan UMNO Melaka menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah tepat dan wajar, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ab. Rauf berkata, mandat rakyat perlu diberi keutamaan demi membuktikan parti mana yang benar-benar layak mentadbir negeri ini.
“UMNO akur dengan keputusan yang dibuat oleh SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 8 November dan hari mengundi pada 20 November.
“Keputusan yang dibuat oleh SPR adalah wajar dan terpulang kepada rakyat untuk memilih parti mana yang mereka fikir layak untuk memerintah negeri ini dan mengembalikan kestabilan politik.
“Cuma yang saya minta agar prosedur operasi standard (SOP) untuk parti-parti berkempen perlu disegerakan bagi memudahkan jentera parti bergerak selepas hari penamaan calon nanti,” katanya ketika dihubungi.
SPR dalam satu sidang akhbar oleh Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh semalam memutuskan, PRN dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, sebagaimana termaktub di bawah Fasa (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Menurutnya, hari mengundi awal telah ditetapkan pada 16 November dan tempoh berkempen pula adalah 12 hari, bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam 19 November.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad juga bersetuju dengan keputusan SPR tidak melewatkan PRN.
Katanya, selagi kerajaan negeri tidak dipilih, pelbagai masalah akan timbul terutama semasa Belanjawan 2021 hendak dibentangkan.
“Melaka telah masuk ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka sesuailah PRN diadakan untuk rakyat memilih kerajaan yang wajar mentadbir negeri ini,” katanya. – UTUSAN