fbpx

Siti Zaharah mampu mendaki pada usia 80 tahun

BERCUCUK tanam merupakan antara aktiviti kegemaran Siti Zaharah Abdullah bagi tujuan mengeluarkan peluh. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH

REMBAU: Warga emas, Siti Zaharah Abdullah, 80, dari Kampung Batu Puteh, Chengkau di sini menjadi sebutan golongan pendaki gara-gara tular di media sosial berkenaan kemampuannya sampai ke puncak Gunung Datuk dalam tempoh dua jam.

Kemampuannya mendaki gunung tersebut tanpa sebarang peralatan termasuk tongkat turut meninggalkan persoalan dan kekaguman pendaki lain.

Menurut Siti Zaharah, pendakian dia dan anak sulungnya, Esah Hitam, 59, ke Gunung Datuk pada Ahad lalu merupakan perancangan saat akhir mereka selepas hasrat untuk mengunjungi saudara di Melaka dibatalkan.

“Anak saya kemudian mengajak untuk mendaki Gunung Datuk, saya bersetuju kerana sudah lama tidak mendaki gunung tersebut. Boleh juga saya lihat matahari terbenam dan juga minum air tempayan di gua yang terdapat berhampiran puncak gunung.

“Sebelum berkahwin dulu, tiga kali saya mendaki gunung berkenaan dan di awal perkahwinan dengan suami, Allahyarham Hitam Sardi, sekali lagi saya mendakinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Batu Puteh, Chengkau, semalam.

Siti Zaharah memberitahu, seawal pendakiannya pada pukul 2 petang, dia terkejut apabila melihat ramai pendaki yang menggunakan tongkat serta mahu menghulurkan tongkat kepadanya kerana bimbang akan keselamatan dirinya.

Bagaimanapun menurutnya, dia menolak dengan baik pelawaan tersebut kerana lebih selesa ‘melompat’ dari batu ke batu tanpa menggunakan sebarang kayu mahupun tongkat.

“Rasa seronok sangat tidak tahu mahu cakap macam mana, saya tidak rasa penat malah rasa ringan. Pada waktu itu, ada juga yang mahu mengambil gambar saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai rahsia sihat dan cergas pada usia 80 tahun, Siti Zaharah menyatakan dia mengamalkan meminum air basuhan tangannya sendiri selepas makan.

“Selepas makan, biasanya saya akan basuh tangan di dalam pinggan yang sama, kemudian selawat tiga kali dan saya akan minum air itu,” katanya yang tidak mahu berkongsikan daripada mana dia mendapat petua tersebut.

Dia yang mempunyai 15 orang anak namun kini hanya enam orang sahaja yang masih hidup, memberitahu, dia juga kurang makan makanan berdaging seperti ayam.

“Saya bangun tidur sebelum Subuh dan mengemas dari dalam rumah dan kemudiannya di luar rumah untuk mengeluarkan peluh, barulah sihat,” katanya yang pernah mendapatkan rawatan di Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada awal 2000.

Sementara itu, anak keempatnya, Sarmah Hitam, 47, berkata, dia terkejut apabila cerita berkenaan ibu dan kakak sulungnya itu menjadi tular di media sosial.

“Saya baca juga komen orang ramai dan mengaitkan emak saya dengan perkara yang bukan-bukan. Emak saya sudah melahirkan 15 orang anak dan sepanjang tempoh kehidupannya membesarkan kami adik-beradik mungkin ada minat yang ingin dilakukannya dahulu terpaksa dipendamkannya.

“Jadi apabila sudah berusia, inilah hasratnya untuk mendaki gunung dan kami adik-beradik akan cuba untuk memenuhi minatnya,” katanya sambil memberitahu, ibunya itu masih lagi bergantung dengan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor seperti ubat sakit darah tinggi serta semakin sembuh daripada penyakit berkaitan buah pinggang.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!