PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan sama ada wujud unsur rasuah dan penyelewengan berhubung pembinaan mykiosk yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas kecaman mengenai kos gerai jualan itu didakwa lebih rendah berbanding harga tender.
Siasatan itu dibuat selepas SPRM menerima aduan daripada salah sebuah parti politik dan perkara itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus.
Katanya, , Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga telah memulakan siasatan secara serentak.
“Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender berkaitan, beberapa pihak yang terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek ini.
“SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya di sini.
Zainul berkata, SPRM akan meneliti keseluruhan proses tatakelola untuk menentukan sama ada wujud sebarang kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur.
“Tindakan penyiasatan dibuat berasaskan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.
Pada 21 Mei lalu, KPKT menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menyiasat projek MyKiosk termasuk SPRM.
Ini susulan gesaan beberapa pihak yang mahu pihak berkuasa termasuk SPRM campur tangan dan menyiasat projek MyKiosk dengan mendakwa, harga binaan bagi setiap unit mencecah RM25,000 adalah mahal. – UTUSAN









