KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah kehilangan seorang pemimpin yang berharga selepas Setiausaha Agung, Guandee Kohoi meninggal dunia akibat Covid-19.
Guandee,67, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 4.45 petang tadi.
Beliau yang disahkan positif Covid-19 pada Ahad dimasukkan ke hospital pada pukul 5 pagi setelah mengalami sakit dada.
Mendiang bertolak ke Kuala Lumpur pada Ahad bagi menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) namun, tidak dapat menghadiri mesyuarat tersebut kerana disahkan positif Covid-19.
Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau sangat sedih dengan berita pemergian Guandee dan ia merupakan satu kehilangan besar kepada parti.
“Beliau merupakan rakan seperjuangan dan sahabat yang baik. Beliau sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. Semasa saya tidak mempunyai apa-apa, mendiang tidak pernah meninggalkan saya dan kehilangannya sukar untuk diganti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau sempat berbual di telefon semasa mendiang menghubunginya pada pukul 10 pagi tadi.
“Beliau memberitahu saya agar jangan khuatir kerana beliau tiada apa-apa dan akan keluar selepas tiga atau empat hari lagi. Saya sangat sedih dengan pemergiannya,” katanya.
Semua ahli keluarga mendiang yang turut disahkan positif Covid-19 kecuali isterinya sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan semasa pemerintahan kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.- UTUSAN ONLINE










