Setiap ahli Keluarga Malaysia terbela - PM - Utusan Malaysia

Setiap ahli Keluarga Malaysia terbela – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa nasib setiap individu dalam Keluarga Malaysia akan terbela.

Perdana Menteri berkata, ini meskipun Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai agama kaum dan usia.

“Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini.

“Jawapannya mudah, kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela,” katanya ketika merasmikan Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri  di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kerajaan meraikan keterangkuman dalam perbezaan serta menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang menjadi salah satu ciri dalam Keluarga Malaysia.

“Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih yang membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia.

“Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahankan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini.

“Amalan hidup saling bermuafakat dan tidak berpecah-belah yang kita amalkan sebagai Keluarga Malaysia umpama peribahasa ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’,” katanya.

Disebabkan itu, Perdana Menteri menyifatkan bahawa majlis itu adalah manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.

“Ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui.

“Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam setiap keluarga,” katanya.

Tambah beliau, apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai itu sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

“Kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia,yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat.

“Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.