TUMPAT: Suasana di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, di sini, yang sudah berbulan-bulan sunyi sepi akibat Covid-19, kembali riuh-rendah dengan kehadiran perantau yang pulang bercuti.
Ketika tinjauan Mingguan Malaysia semalam, peniaga terutama di bahagian pakaian wanita, aksesori dan kelengkapan dapur dilihat sudah mampu tersenyum ceria melayan pelanggan yang tidak putus-putus tiba.
Antara yang tidak menang tangan ialah, peniaga pelbagai beg tangan, Pah Halimah Tuan Ibrahim, 59, yang membuka kedainya selepas kelonggaran diberikan kepada sektor tersebut sejak awal bulan ini.
Menurutnya, kebenaran rentas negeri yang menyaksikan perantau pulang beramai-ramai ke Kelantan ibarat rahmat baginya selepas lebih setahun mata pencariannya terputus akibat pandemik Covid-19.
“Prosedur operasi standard (SOP) sentiasa saya utamakan termasuk memastikan hanya pengunjung yang sudah lengkap dua dos vaksin masuk ke kedai selain SOP sedia ada.
“Ketika mula buka kedai awal bulan lalu, pelanggan masih tidak ramai sehinggalah semalam, bilangan pelanggan naik mendadak. Biasanya hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu paling ramai pengunjung,” katanya.
Peniaga pakaian dan tudung, Nik Zawiah Nik Hasan, 55, pula berkata, sejak beroperasi semula, purata hasil jualan harian diperolehnya meningkat kepada RM300 sebelum naik sekali ganda lagi pada hujung minggu.
Ketika ini katanya, kebanyakan pengunjung yang singgah di gerai adalah pelanggan tetap dari luar daerah ini dan Kelantan dengan mereka memborong tudung dalam kuantiti banyak.
“Saya bersyukur dan seronok apabila tengok tempat ini sudah kembali meriah,” katanya.










