PETALING JAYA: Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengakui peluang pasukannya untuk menempatkan diri di kedudukan kedua liga agak tipis memandangkan perbezaan jaringan gol yang perlu dikejar adalah sangat besar.
Menurut Mahfizul, walaupun sasaran untuk memintas Kuching City masih terbuka, Selangor FC perlu menjaringkan sekurang-kurangnya lapan gol dalam perlawanan akan datang untuk mendekati kedudukan tersebut.
“Insya-Allah, kalau tiada masalah yang tak dijangka, kami yakin boleh mencapai kedudukan itu, namun memerlukan jaringan besar ke atas Melaka” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, pasukan tidak boleh mengabaikan kemampuan Melaka FC yang turut berazam untuk menang.
“Kita kena hormat pihak lawan. Jangan fikir nak menang dengan jaringan gol yang terlalu besar, itu tak boleh.
“Pemain juga sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik selepas kemenangan ke atas PDRM baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut berharap sokongan padu daripada penyokong di stadium akan memberi suntikan semangat kepada pemain untuk terus berjuang.
Dalam perkembangan lain, Mahfizul tidak menolak kemungkinan Selangor FC mampu merapatkan jurang selepas hujung musim meskipun peluang untuk naik ke tangga kedua dalam masa terdekat dilihat agak sukar.
“Liga masih panjang, dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan matlamat itu. Masih ada Piala Shopee dan Piala Malaysia yang perlu difokuskan,” katanya.
Selangor FC kini berada di tangga keempat liga dengan mengumpul 22 mata dengan perebutan kedudukan kedua liga musim ini kian sengit antara Kuala Lumpur (KL) City FC, Kuching City dan Selangor FC. – UTUSAN










