Malaysia mahu kejutkan Thailand

Malaysia mahu kejutkan Thailand

AKSI sengit Malaysia menentang Indonesia dalam Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN di Bangkok, kelmarin. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad futsal bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan mempunyai misi besar untuk membenam tuan rumah, Thailand dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Futsal B-9 ASEAN 2025 di Stadium Nonthaburi, malam ini.

Thailand pastinya turun selaku pilihan utama berdasarkan status sebagai juara Kumpulan A, namun perkara itu perlu diketepikan oleh skuad kendalian Rakhpol Seinetngam kerana apa sahaja boleh berlaku dalam aksi sebenar.

Pengurus pasukan futsal B-19 Malaysia, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, kejayaan mara ke separuh akhir membuktikan pemain negara mempunyai kualiti dan mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan gergasi Asia Tenggara.

Katanya, kejayaan menepati sasaran pengurusan untuk ke separuh akhir itu terhasil menerusi perjuangan dan semangat juang tinggi para pemain selepas melepasi cabaran sengit daripada Myanmar dan Indonesia dalam Kumpulan B.

“Di peringkat separuh akhir esok (hari ini), Malaysia akan berdepan tuan rumah, Thailand yang muncul sebagai juara Kumpulan A. Kita akan pastikan barisan pemain bersedia sepenuhnya untuk aksi tersebut, biarpun atas kertas Thailand memiliki kelebihan.

“Barisan kejurulatihan yang diketuai Rakhpol Seinetngam pastinya tahu apa yang perlu dilakukan untuk kita melakar kejutan, khususnya dalam percaturan taktikal untuk memerangkap lawan dan dalam aksi sebenar, apa sahaja boleh berlaku.

“Saya juga berharap para pemain dapat memberikan segala yang mereka ada dalam pertemuan menentang Thailand. Inilah masanya untuk kita buktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat-bakat berkualiti.

“Saya percaya, Thailand juga sudah mengkaji corak permainan, kekuatan dan taktikal kita, jadi situasi ini pasti memberi sedikit kesukaran. Namun, saya percaya barisan pemain sudah bersedia dengan perancangan jurulatih,” katanya.

Malaysia akan berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir pada pukul 8 malam ini di Stadium Nonthaburi, manakala Indonesia akan menentang Vietnam dalam aksi awal (5 petang) bagi merebut tiket ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.

Sementara itu, Rakhpol dalam sidang akhbar selepas aksi menentang Indonesia kelmarin gembira dengan pencapaian pasukan mara ke separuh akhir, biarpun berdepan cabaran sengit daripada Myanmar dan Indonesia dalam saingan Kumpulan B.

“Saya bangga dengan perjuangan yang ditunjukkan para pemain. Di kejohanan ini, Indonesia dan Thailand adalah pasukan yang sangat kuat, tetapi saya bersyukur Malaysia berjaya meneruskan kemaraan sehingga ke separuh akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN