SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) giat menjayakan aktiviti promosi pelancongan secara berterusan dalam usaha membantu pengusaha-pengusaha tempatan menjana semula ekonomi.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, pelbagai perancangan dan usaha sudah dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan daerah Sepang khususnya di Bagan Lalang kembali dekat dihati pengunjung.
Menurutnya, walaupun Tahun Melawat Sepang 2020 ditamatkan, namun promosi berterusan dengan menggantikan program ‘Sepang Dihati, Jom Bercuti@Sepang.
“Untuk pemulihan aktiviti pelancongan, MPSepang menjayakan program-program promosi bagi meningkatkan kehadiran pelancongan.
“Kami akan terus membantu pengusaha tempatan menerusi khidmat nasihat dan juga promosi,” katanya dalam sidang akhbar produk pelancongan daerah Sepang dan memancing bersama media, semalam.
Abd. Hamid berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Tourism Selangor Sdn. Bhd, daerah Sepang menerima sebanyak 749,775 orang pelancong bagi tahun 2020.
Menurutnya, jumlah ini terdiri daripada 461,663 orang pelancong domestik dan 288,112 orang pelancong antarabangsa.
“Data ini mengalami kemerosotan berbanding tahun 2019 kesan daripada kehadiran pelancong yang sangat tidak menggalakkan iaitu merosot sebanyak 35.3 peratus (domestik) dan 57.1 peratus (antarabangsa) akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya menyalurkan peruntukan sejumlah RM600,000 bagi membaik pulih kemudahan-kemudahan asas yang bakal memberikan manfaat kepada pengunjung.
“MPSepang menerima peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi kerja-kerja naik taraf jeti Sirip Biru dan medan selera sekitar Bagan Lalang,” tegasnya. – UTUSAN










