Rafizi cabar PKR pecat jika langgar perlembagaan parti

Rafizi cabar PKR pecat jika langgar perlembagaan parti

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa parti itu memecatnya segera sekiranya penjelasannya terhadap surat tunjuk sebab kedua dianggap melanggar perlembagaan parti.

Katanya, Lembaga Disiplin PKR perlu membuat keputusan tegas dan segera berhubung kedudukannya dalam parti kerana rakyat sudah ‘mual’ dengan kemelut berkenaan.

“Jika penjelasan saya itu dikira telah melanggar perlembagaan parti, jadilah seperti sebuah parti yang normal dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Rafizi berkongsi jawapan empat muka surat terhadap surat tunjuk sebab bertarikh 9 April lalu yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR berhubung beberapa dakwaan pelanggaran disiplin dan tindakan yang didakwa mencemarkan nama parti.

Pada Februari lalu, Rafizi mendakwa PKR cuba menekannya supaya meninggalkan parti bagi membolehkan beliau disingkirkan sebagai ahli Parlimen menerusi undang-undang antilompat parti.

Ia susulan surat tunjuk sebab pertama yang menuduh beliau mengisytiharkan peletakan jawatan daripada parti selepas mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bukan atas tiket PKR.

Surat terbaharu yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Zainol Samah, antara lain mendakwa Rafizi kerap mengeluarkan kenyataan negatif terhadap parti serta presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan Rafizi bahawa Perdana Menteri cenderung mengharapkan orang bawahan sentiasa menurut arahan, selain mengaitkan Anwar dengan tindakan mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Lembaga itu turut membangkitkan penyertaan Rafizi dalam perhimpunan Tangkap Azam Baki yang didakwa menjejaskan persepsi awam terhadap parti serta mencemarkan imej PKR.

Selain itu, beliau juga didakwa melanggar kod etika parti termasuk membabitkan perlindungan maklumat sulit, menjaga nama baik parti serta mematuhi peraturan dan perlembagaan parti.

Bagaimanapun, Rafizi mempertahankan tindakannya dengan menegaskan tegurannya terhadap budaya membodek dalam parti bukan perkara baharu.

Katanya, teguran yang pernah diterima dengan baik sebelum ini sepatutnya diberikan penerimaan sama walaupun selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Jika sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman sebelum beliau menjadi perdana menteri, sewajarnya ingatan saya itu juga disambut dengan tawadhu’ selepas beliau menjadi perdana menteri,” katanya.

Rafizi turut mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan Anwar melindungi beberapa individu tertentu, termasuk mengaitkan nama Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Menurutnya, kegagalan sebarang tindakan atau siasatan diambil terhadap dakwaan tertentu menimbulkan persepsi bahawa individu terbabit mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi parti.

“Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran boleh membuat kesimpulan bahawa individu-individu tertentu terlindung daripada tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN