Selepas fail di mahkamah, apakah PH bertanding PRN? - Utusan Malaysia

Selepas fail di mahkamah, apakah PH bertanding PRN?

SULAIMAN Md. Ali menyampaikan sumbangan kepada pengerusi dan pegawai syarak di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setiap individu mahupun parti politik boleh mengambil tindakan undang-undang, sekiranya tidak berpuas hati dengan keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 4 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut mempersoalkan, apakah Pakatan Harapan (PH) tetap bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) selepas memfailkan perkara tersebut ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, memandangkan semakan kehakiman sudah dilakukan, perundangan dilihat sebagai kaedah terbaik untuk menentukan kebenaran di sebalik pertikaian tersebut.

“Kalau kata nak cabar itu hak dia (Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari). Tapi kalau betul nak cabar ke mahkamah, masa PRN nanti bertanding ke tak?”

“Ia sudah difailkan, teruskanlah. Kita tunggu mahkamah dan saya serah kepada perundangan. Saya tak boleh kata apa-apa, terpulang kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Semalam, Adly memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan pembubaran DUN Melaka atas dakwaan, perintah pembubaran oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dibuat atas nasihat yang salah.

Ini kerana kata Adly, Ketua Menteri telah hilang kuasa sehari sebelum bertemu dengan Mohd. Ali, sekaligus tidak layak untuk memberikan sebarang nasihat kepadanya untuk membubarkan Dewan.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah akan mempertahan DUN Lendu pada PRN 20 November ini, Sulaiman berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan.

“Saya tahu banyak muka-muka baharu yang ada. Jadi, saya serah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana semua calon-calon yang bertanding hanya diputuskan pucuk pimpinan tertinggi,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×