Selangor masih mampu urus sampah, sisa pepejal

Selangor masih mampu urus sampah, sisa pepejal

NG SZE HAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor mempunyai strategi sendiri dalam mengurusdkan perkhidmatan sisa pepejal dan perbersihan awam meskipun tidak meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, dakwaan bahawa negeri itu tidak mampu mengurus sampah dan sisa pepejal adalah tidak tepat sama sekali.

“Selangor merupakan negeri pertama yang mempelopori model Project Management Company (PMC) dengan melantik KDEB Waste Management (KDEB), anak syarikat kerajaan negeri bagi menguruskan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan lebih efektif dan efisien.

“Justeru kenyataan itu adalah kurang tepat, berat sebelah dan tidak berlandaskan kepada fakta yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa tujuh buah negeri termasuk Selangor tidak mengiktiraf Akta 672, yang menjadi salah satu punca wujudnya tapak pelupusan sampah haram.

Sementara itu, Sze Han berkata, KDEB sehingga hari ini mampu mengendalikan kira-kira 7,000 tan sampah sehari, yang didakwanya sebagai jumlah berat sampah tertinggi di negara ini secara sistematik walaupun menerima peruntukan terhad.

Dari gerak kerja pelupusan sampah, menurutnya, sebuah lagi anak syarikat kerajaan negeri, Worldwide Landfills Sdn. Bhd. (Worldwide Landfills) menguruskan tapak pelupusan secara efisien.

“Worldwide Landfills kini menguruskan tiga tapak pelupusan sanitari di Jeram, Tanjung Dua Belas dan Sabak Bernam serta tiga tapak pelupusan sisa lengai di Sungai Kertas, Dengkil and Kuang.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor pada tahun lalu, 874 kes berkaitan pembuangan sampah haram direkodkan di Selangor berbanding 1,983 kes pada tahun 2019.

“Penurunan sebanyak 56 peratus ini jelas amat signifikan dan ini membuktikan Kerajaan Negeri Selangor berada pada landasan yang tepat bagi membendung masalah sampah haram ini,” ulasnya.

Berdasarkan fakta yang diberikannya, kata Sze Han, tidak ada kaitan membabitkan keputusan kerajaan negeri yang tidak mengiktiraf akta berkenaan dengan kewujudan tapak pelupusan sampah haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya