Selangor, KL City berpesta gol - Utusan Malaysia

Selangor, KL City berpesta gol

PEMAIN-pemain Selangor meraikan jaringan pada perlawanan Piala Malaysia menentang Kuching City FC, di Stadium MBPJ, malam tadi. Gambar: SHIDDIEQIIN ZO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Selangor FC berpesta gol di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) selepas membelasah Kuching City FC 5-1 dalam saingan Piala Malaysia yang berlangsung malam tadi.

Kemenangan itu mencerahkan peluang skuad Red Giants untuk menempah tiket ke suku akhir namun gagal untuk memintas Terengganu FC yang kekal sebagai pendahulu Kumpulan B apabila turut meraih tiga mata dengan menewaskan Perak.

Beraksi di laman sendiri, tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit pertama permainan menerusi penyerang import dari Myanmar, Hein Htet Aung.

Namun skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim bangkit mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Michael Ijezie sembilan minit kemudian menerusi sepakan penalti.

Bersambung babak kedua, Selangor meningkatkan asakan ke gawang lawan dan hasilnya ledakan Ahmad Danial Asri pada minit ke-59 meletakkan kembali tuan rumah di depan.

Juara sebanyak 33 kali Piala Malaysia itu, terus mengganas dan kali ini jaringan daripada pertahanan dari Singapura, Safuwan Baharudin pada minit ke-65.

Danial terus mempamerkan sentuhan berbisa apabila mencetak gol peribadi keduanya pada minit ke-79 sebelum Sean Selvaraj melengkapkan malam penuh bergaya buat Selangor pada masa kecederaan.

Sementara itu, dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) merampas kedudukan teratas Kumpulan A selepas membelasah Sarawak United FC 4-0.

Skuad kendalian Bojan Hodak tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi percubaan jarak dekat Romel Morales yang berjaya menewaskan penjaga gol, Shaiful Wazizi Mohammad pada minit kesembilan dan menambah gol kedua pada minit ke-11.

Dua jaringan pantas dihasilkan J Partiban pada minit ke-55 dan ledakan Ryan Lambert, empat minit kemudian melengkap malam gemilang skuad The City Boys.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya