PETALING JAYA: Sebagai syarikat utama yang menggerakkan industri tenaga di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kehendak industri tenaga dengan tanggungjawabnya terhadap rakyat dan negara.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memberi jaminan akan bersama TNB mencari penyelesaian terbaik bagi mencapai keseimbangan tersebut.
Menyifatkan TNB sebagai ‘jantung’ negara dalam industri tenaga, beliau menegaskan syarikat utiliti itu mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Dalam masa sama, TNB perlu menyeimbangkan perancangan aspek-aspek tertentu supaya kekal memberikan sumbangan dan juga memenuhi kehendak industri.
“Saya akan sentiasa komited untuk memastikan keseimbangan ini. Saya akan bersama dengan kepimpinan TNB untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan kedua-dua tanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan lebih tiga jam di ibu pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Menurut TNB, Takiyuddin turut ditaklimatkan berkenaan prestasi, sumbangan dan cabaran dihadapi syarikat itu oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din selain taklimat cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) oleh Ketua Pegawai Pengurusan Regulatori dan Pemegang Taruhnya, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.
Menurut Baharin, TNB telah bergerak menjadi agensi yang menggerakkan kemajuan negara dan berpotensi menjadi pelopor kepada pembangunan ekonomi baharu negara.
Kata beliau, TNB turut berbangga dapat berbakti kepada rakyat dan negara melalui aktiviti tanggungjawab sosial, program pembangunan vendor dan lain-lain aktiviti berjumlah RM21 bilion bagi tempoh Januari 2018 hingga 31 Ogos 2021.
“Sepanjang pandemik, TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk 2020 dan 2021 kepada rakyat selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti Bakul Prihatin Negara berjumlah RM2 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE