Sasar 8,000 graduan terima manfaat program Penjana KPT-CAP IPTS - Utusan Malaysia

Sasar 8,000 graduan terima manfaat program Penjana KPT-CAP IPTS

NORAINI Ahmad (dua dari kiri) diberi penerangan oleh Amir Hamzah (dua dari kanan) mengenai Program Profesional Eksekutif Halal Uniti sambil disaksikan oleh Mazlan (kiri) di Port Dickson semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 8,000 orang graduan dijangka menerima manfaat melalui program Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP) Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Penjana KPT-CAP IPTS merupakan satu lagi komitmen kementerian untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan graduan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelas Noraini, inisiatif program yang dirancang di bawah Penjana KPT-CAP IPTS merupakan manifestasi komitmen KPT dalam menzahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat.

“Daripada RM35 bilion yang diperuntukkan di bawah Penjana, KPT diamanahkan sebanyak RM50 juta untuk merealisasikan inisiatif Penjata KPT-CAP IPTS dengan sebanyak RM13.3 juta telah diluluskan setakat ini.

“Sebanyak 83 program telah disusun melibatkan sinergi daripada 16 buah IPTS dengan penglibatan seramai 2,559 orang graduan sehingga semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Penjana KPT-CAP IPTS di kampus Kolej Uniti Port Dickson, Tanjung Agas di sini yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook KPT malam semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dan Ketua Eksekutif Kolej Uniti Port Dickson, Amir Hamzah Md. Isa.

Antara IPTS yang terlibat dalam inisiatif Penjana KPT-CAP IPTS bagi fasa 1 dan 2 adalah Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Kolej Universiti Segi, City University, Kolej Uniti, Universiti Cyberjaya dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, program Penjana KPT-CAP IPTS merupakan satu inisiatif murni yang wajar dipuji dan diberi penghargaan kerana ia membantu meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan dalam kalangan graduan.

“Saya berharap KPT dan Kementerian Kewangan dapat meneruskan inisiatif dan program Penjana KPT-CAP IPTS ini dengan penambahbaikan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang bagi memberi peluang lebih ramai graduan menganggur yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menyertainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN