JOHOR BAHRU: Rundingan antara Malaysia dan Singapura berhubung pembukaan semula sempadan kedua-dua negara perlu segera diteruskan meskipun negara republik itu berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini.
Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor, S. Dayalan berkata, kedua-dua pihak perlu mencapai kata sepakat misalnya pada tahap mana sempadan selamat untuk dibuka bagi perjalanan ulang-alik secara harian.
“Memang kerajaan kena runding secepat mungkin walaupun kita tahu sejak beberapa minggu ini kes di Singapura meningkat sedikit tetapi tidak bermakna sebarang rundingan tidak boleh diteruskan dan sepatutnya disegerakan.
“Dari satu sudut memang kita juga khuatir kalau kes di Singapura masih tinggi dan kita buka pintu sempadan, keselamatan dan kesihatan rakyat kita di sini pula mungkin boleh terjejas walaupun pendirian kita tetap pintu sempadan perlu dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, laporan media negara itu menyebut sebarang perjanjian mengenai perjalanan antara Johor dan Singapura terutama menerusi Tambak Johor perlu dilihat secara berbeza dengan aturan perjalanan udara kerana ia membabitkan jumlah yang tinggi.
Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura (MTF) mengenai Covid-19, Lawrance Wong dipetik berkata, aspek risiko agak berbeza daripada perjalanan udara dan perlu pertimbangan berbeza.
“Kita faham mungkin ada rakyat di kedua-dua negara mahu melawat keluarga atau berulang alik untuk kerja tetapi jumlah mereka yang akan menyeberangi Tambak boleh jadi amat besar andai kita melihat kepada keadaan sebelum Covid-19,” katanya.
Pada masa sama beliau memberi jaminan Singapura sentiasa berbincang dengan rakan sejawatan di Malaysia berkaitan peraturan perjalanan udara dan darat selain republik itu sedang mengemas kini kategori negara dunia secara berkala setiap dua minggu.
Dalam pada itu, Dayalan yakin Singapura akan tetap membuka pintu kepada rakyat negara ini terutamanya pekerja pelbagai sektor dalam usaha pemulihan ekonomi dunia yang sedang dilakukan.
“Kita tahu mungkin ia akan ambil masa untuk buka semula sempadan tetapi saya yakin Singapura tetap memberi peluang kerja kepada rakyat kita selepas ini dengan mereka yang hilang kerja dan berpengalaman berpeluang mencari rezeki di sana sekali lagi.
“Pembukaan sempadan itu bukan sahaja akan memberi kelegaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi juga membawa limpahan ekonomi kepada negara ini,” ujarnya.
Pada 2 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan sudah me-minta Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berbincang dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja.
Hasni sebelum ini juga pernah menyuarakan keperluan Johor untuk berada secara langsung dalam jawatankuasa khas pembukaan sempadan dengan Singapura kerana negeri itu le-bih memahami keadaan antara mereka dan Singapura melalui kerjasama erat yang terjalin selama ini.-UTUSAN ONLINE