RM5 juta dana permulaan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia diperuntukkan - PM - Utusan Malaysia

RM5 juta dana permulaan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia diperuntukkan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan peruntukan dana permulaan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia sebagai satu bentuk bantuan golongan mahasiswa di negara ini sekali gus memastikan tiada seorang pun akan tercicir atau terpinggir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, yayasan berstatus badan rasmi peringkat nasional itu ditubuhkan di bawah Akta 258 dengan dikawal selia Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, badan itu akan bekerjasama dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan kepada agensi dan pihak terlibat, mempermudahkan dan mempercepatkan sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada mereka.

“Penubuhan yayasan ini secara langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Sebagaimana dalam sebuah keluarga, setiap ahli yang susah, perlu dibantu bersama-sama dan nilai-nilai murni ini jugalah perlu diamalkan setiap mahasiswa. Amat mustahak bagi setiap mahasiswa melihat rakan-rakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran yayasan itu, secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata, melalui penubuhan yayasan itu, ia diharapkan pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa lebih bersepadu.

Kata beliau, yayasan itu wajar menjadi asbab bagi semua pihak untuk memberikan yang terbaik, ke arah menterjemahkan aspirasi konsep Keluarga Malaysia.

Dengan tertubuhnya yayasan itu, Perdana Menteri berkata, tergalas amanah di bahu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) khususnya dan di setiap mahasiswa amnya, bagi memastikan tiada sebarang rakan yang memerlukan tercicir daripada dibantu.

“Demi melaksanakan usaha murni ini, saya menyeru kesemua mahasiswa supaya menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

“Dana yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan ini adalah tanda sokongan kerajaan dalam memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhannya tercapai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya