PETALING JAYA: Pemberian subsidi dan insentif untuk industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.5 bilion diberikan bagi subsidi benih; baja; harga dan pengeluaran padi manakala sebanyak RM40 juta diberikan untuk subsidi baja padi huma.
“Insentif hasil tangkapan nelayan juga disediakan kerajaan membabitkan RM150 juta.
“Usaha ini diteruskan bagi memacu pemodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi untuk menarik lebih ramai generasi muda agropreneur,” katanya dalam pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di sini hari ini.










