Risiko Covid-19 jika PRN perlu dibuktikan secara benar, telus dan jujur - Utusan Malaysia

Risiko Covid-19 jika PRN perlu dibuktikan secara benar, telus dan jujur

MUHAMMAD FATHI YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proklamasi darurat boleh diisytiharkan bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sekiranya risiko Covid-19 yang mungkin merebak virus itu akibat pilihan raya dan wajar dibuktikan secara benar, telus dan jujur

Pensyarah Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, Agong mempunyai kuasa membuat pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 jika Seri Paduka berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam. 

Sebaliknya, kata beliau, faktor risiko Covid-19 yang mungkin merebak akibat PRN perlu dibuktikan secara benar, telus dan jujur jika Seri Paduka ingin menggunakan kuasa itu dalam faktor yang dikaitkan dengan pandemik.

“Pihak yang perlu terlibat dalam proses ini tentunya Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia.

“Antara aspek yang perlu dinilai termasuK tahap jangkitan di Melaka, vaksinasi, prosedur operasi standard (SOP) kempen dan pengundian, jangkaan kehangatan kempen, dan kemampuan jentera penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof memaklumkan pembubaran DUN selepas permohonan diperakukan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd. Rustam.

Keputusan itu dibuat ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan ke atas kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Mengulas persoalan sama ada darurat sebelum ini yang tidak dirungkai berjalan automatik selama enam bulan selepas tamat pada Ogos lalu, Muhammad Fathi menjelaskan sememangnya ordinan darurat hanya terhenti berkuatkuasa selepas enam bulan tamatnya Proklamasi Darurat. 

“Tetapi jika dirujuk Perkara 150(7), prinsip ini tidak terpakai untuk perkara yang termasuk dalam kategori ‘telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu’. 

“Dalam Ordinan Darurat, Seksyen 13 yang berkaitan dengan PRN menyebut bahawa penangguhan PRN hanya berlaku ‘bagi tempoh darurat berkuatkuasa. Jadi bila darurat sudah tamat, maka penangguhan tidak lagi wujud, jadi tidak perlu tunggu enam bulan dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi menjelaskan SPR tidak ada budi bicara untuk membuat penangguhan atas alasan apa sekali pun terhadap perjalanan PRN kerana badan itu bertanggungjawab melaksanakan kehendak Perlembagaan negeri Melaka.

Katanya, ketetapan bahawa PRN Melaka perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN adalah berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka khususnya Perkara 19(4). 

“Punca kepada perkara ini ialah kerana Ketua Menteri sedia ada didapati hilang kepercayaan dalam DUN dan beliau kemudiannya menasihati Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN. Sebenarnya perlembagaan memberikan dua pilihan kepada beliau iaitu sama ada meletakkan jawatan atau meminta pembubaran DUN. 

“Dalam hal ini beliau memilih untuk meminta pembubaran DUN, sama seperti yang berlaku di Sabah pada tahun lepas.  Itu hak beliau yang disediakan oleh Perlembagaan. 

“Tambahan pula tidak nampak secara jelas siapakah calon Ketua Menteri, pengganti yang benar-benar mendapat kepercayaan. Walaupun bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) disebut sebagai calon yang dicadangkan, tidak ada bukti jelas seluruh ADUN dari PH memberikan sokongan kepada beliau,” katanya.

Tambah Muhammad Fathi mungkin atas faktor ini juga Yang Dipertua Negeri menerima permintaan Sulaiman untuk membubarkan DUN walaupun beliau boleh menolak permintaan itu dan melantik Ketua Menteri baharu seperti mana berlaku kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang digantikan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Mei 2009. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN