KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membenarkan pergerakan rentas daerah bermula esok manakala, pergerakan rentas negeri akan bermula 1 November.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kadar vaksinasi penduduk yang lengkap divaksin yang mencapai 70 peratus pada Isnin.
“Kerajaan negeri berpuas hati dengan laporan peratusan vaksinasi lengkap di Sabah setakat 11 Oktober oleh Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) yang telah mencapai lebih 70 peratus,” katanya selepas mesyuarat Kabinet Negeri di Menara Kinabalu hari ini.
Kebenaran pergerakan merentas daerah dan negeri ini diberikan kepada individu yang telah lengkap divaksin dan remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, mereka harus ditemani oleh ibu bapa yang lengkap divaksin.
Untuk pergerakan rentas negeri pula, semua individu perlu menjalani ujian saringan Transkripsi Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) atau Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.
Pada 5 Oktober lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan individu yang lengkap divaksin tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib untuk masuk ke Sabah.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri seluruh negara bermula 11 Oktober.
Walau bagaimanapun, Sabah belum membenarkan pergerakan rentas negeri bermula Isnin berikutan kadar vaksinasi penduduk dewasa yang lengkap divaksin masih rendah.
Setakat semalam, seramai 2.38 juta penduduk di Sabah telah divaksin termasuk 2.08 juta atau 75.4 peratus penduduk dewasa.
Penduduk yang lengkap divaksin pula seramai 2.05 juta orang termasuk 1.93 juta atau 70.3 peratus penduduk dewasa.- UTUSAN ONLINE










