Rentas negeri: PLUS bersedia untuk layan 1.3 juta kenderaan di lebuh raya - Utusan Malaysia

Rentas negeri: PLUS bersedia untuk layan 1.3 juta kenderaan di lebuh raya

plus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trafik di lebuhraya Utara Selatan dijangka meningkat antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari apabila perjalanan antara negeri dibenarkan semula.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS sedia membuka semula semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan sebagai persediaan menghadapi trafik tinggi sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan dalam masa terdekat.

Katanya, PLUS menjangkakan ramai penduduk Lembah Klang dan dari negeri-negeri lain merebut peluang merentas negeri untuk bersama keluarga dan sahabat handai.

“PLUS sedia membuka semula semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik.

“Kami teruja bahawa lebih 90 peratus daripada penduduk dewasa telah diberi vaksin sepenuhnya dan kini dapat melakukan perjalanan di lebuh raya kami seperti biasa. Namun, ingin tetap memberi peringatan terhadap keperluan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, laman CovidNow melaporkan sebanyak 20,856,337 atau 89.1 peratus rakyat berusia 18 tahun ke atas telah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.

Zakaria berkata, keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya tersebut menjadi keutamaan PLUS dengan menyediakan PLUSRonda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan di seluruh laluan sepanjang 1,130 kilometer.

“Kerjasama bersama Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya yang memberi ketenangan kepada pelanggan lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, semua kemudahan awam di 29 hentian rehat dan rawat (R&R) PLUS dan 50 Hentian Sebelah sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat.

Katanya, pembersihan itu sebahagian daripada komitmen jangka panjang PLUS untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

“Pengguna diingatkan untuk mengikuti SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu memeriksa MySejahtera, mengambil suhu, memakai topeng muka yang betul serta menjaga penjarakan fizikal kerana ia masih merupakan sebahagian SOP di sepanjang lebuh raya kami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN