PETALING JAYA: Orang ramai diseru tidak leka dengan pelbagai kelonggaran yang diberikan kerajaan ketika ini supaya kadar kes jangkitan tidak meningkat seterusnya memungkinkan penutupan semula sektor ekonomi.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya itu berlaku, kerajaan tiada cara lain selain memberikan suntikan penggalak kepada golongan kritikal untuk menguatkan sistem imun mereka.
Ujarnya, mungkin pembukaan sektor ekonomi juga akan diperlahankan semula, malah ada yg terpaksa ditutup sementara sekiranya kemunculan kluster-kluster baharu memberi ancaman kepada kesihatan rakyat dan sektor ekonomi.
“Sekiranya ini berlaku, pemulihan ekonomi negara akan menjadi perlahan dan mengambil masa yang lebih panjang. Ini akan memberikan kesan buruk kepada kesihatan rakyat dari segi sosial dan ekonomi.
“Lebih memburukkan keadaan, sektor-sektor seperti pelancongan yang baru pulih termasuklah rantaian nilanya pasti akan terjejas semula. Sektor peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan mengalami tekanan kewangan semula,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Justeru, beliau menegaskan, unjuran pemulihan ekonomi yang dijangka bermula pada suku terakhir 2021 ini mungkin tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Malaysia mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu fasa endemik.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi amaran mengenai peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas sempadan negeri dibuka semula pada 11 Oktober.
Situasi yang sama juga berlaku di Sarawak dan Negeri Sembilan, terutama bagi pesakit Covid-19 di Kategori 3, 4 dan 5.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, cara menangani kenaikan kes buat masa ini adalah berbeza berbanding sebelum ini kerana kita berada dalam suasana endemik dan hampir 95 peratus penduduk dewasa sudah menerima vaksin lengkap.
Disebabkan itu katanya, walaupun kes kembali meningkat, namun sekiranya kadar kemasukan hospital dan penggunaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah rendah, tiada keperluan untuk menutup kembali sektor ekonomi.
Ujarnya, ini kerana hospital dan klinik kerajaan masih lagi mampu menangani kenaikan kes dan kemasukan pesakit ke dalam wad.
“Justeru, jika sektor ekonomi tidak ditutup, negara masih mampu mencapai sasaran 4.0 hingga 5.0 keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara untuk tahun ini.
“Apa yang penting ialah memastikan rakyat sentiasa mematuhi SOP, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak berkumpul di tempat ramai orang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE