Rakyat Malaysia ditahan di Australia bukan keldai dadah - Razarudin - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia ditahan di Australia bukan keldai dadah – Razarudin

RAZARUDIN Husain (kanan) bersama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lelaki warganegara Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Australia selepas disyaki menyeludup 450 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta dipercayai bukan keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, ini berikutan suspek lelaki berusia 38 tahun itu sudah memasuki Australia sejak tahun lalu.

“Lelaki yang ditahan di Australia itu memasuki negara itu pada Januari 2020. Oleh itu, kita boleh menolak bahawa beliau bukanlah keldai dadah kerana memasuki Australia sejak tahun lalu.

“Kalau keldai dadah, mereka membawa dadah khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu dengan menaiki kapal terbang sebelum ditahan, namun lelaki itu sudah setahun berada di Australia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ahad lalu, akhbar melaporkan pihak berkuasa Australia menahan seorang warga Malaysia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram dadah jenis heroin. 

Dadah terbabit ditemukan dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.

Pegawai Kanan Polis, Krissy Barret berkata, ia juga adalah rampasan dadah terbesar di negara tersebut yang disyaki dibawa masuk dari Malaysia. Lelaki yang tidak dinamakan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat lalu.

JSJN sebelum ini sudah berhubung dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) berhubung penahanan lelaki  itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Razarudin berkata, kes penyeludupan dadah membabitkan suspek terbabit masih dalam siasatan.

Katanya, maklumat yang dikongsikan pihak berkuasa Australia berhubung siasatan itu sedikit sebanyak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan lanjut bagi mengesan dalang utama sindiket terbabit.

“Siasatan mungkin ambil masa antara seminggu hingga sebulan kerana kita perlu melakukan risikan bernilai dan berkualiti. Ini sindiket yang besar dan memerlukan sedikit masa bagi menjalankan siasatan yang rapi dan berkualiti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya