PETALING JAYA: Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan peletakan jawatannya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah MDEC yang terakhir semalam.
Menurutnya, beliau mendapat pengalaman sangat berharga dalam memberikan nafas baharu sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) dengan cabaran yang diperlukan.
“Malah pembaharuan GLC perlu dilakukan dengan penuh kepercayaan dan tanpa campur tangan politik kerana entiti ini dibiayai orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Rais yang sebelum ini dikritik selepas mengeluarkan kenyataan berbaur serangan peribadi berkaitan isu dasar kabotaj berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prinsipnya dalam menjalankan tugas.
“Kadangkala kita terpaksa membuat keputusan sukar yang dianggap tidak popular. Lebih mudah hanya mengikut arahan pemegang taruh kementerian atau pihak yang memantau.
“Namun ia akan menjadi percanggahan besar. Justeru saya sentiasa berpegang pada melakukan perkara betul dengan mematuhi prinsip. Jika tidak, ia melanggar prinsip sendiri,” ujarnya.
Kritikan itu tercetus selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong tampil menjelaskan bahawa, pelaksanaan dasar kabotaj tidak wajar dipersalahkan sebagai satu-satunya faktor apabila Malaysia diketepikan dalam projek sistem kabel dasar laut Apricot, kendalian firma gergasi rangkaian telekomunikasi dari Jepun.
Hal itu kerana pematuhan dasar kabotaj negara dalam projek pemasangan kabel masih kekal sejak ia dilaksanakan pada 1980, justeru dakwaan bahawa Malaysia kehilangan peluang menarik pelaburan daripada projek Apricot ekoran dasar berkenaan adalah tidak benar.
Sebaliknya, keputusan kerajaan untuk membatalkan pengecualian dasar kabotaj hanya tertakluk kepada kerja pembaikan dan bukan terpakai kepada pemasangan kabel dasar laut. – UTUSAN ONLINE