PUTRAJAYA: Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 75 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 83 kes sebelum ia berubah kepada 96 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 9 pagi, hari ini yang berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my.
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku penurunan, sebanyak 109 kes berbanding kelmarin, 121 kes menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,565 kes.
Sebanyak 33 daripada 109 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,340 kes.
Sebanyak 890 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 485 pesakit memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) manakala pesakit yang perlu ditempatkan di wad adalah seramai 8,495 orang.
Jika dibahagikan mengikut negeri, Pulau Pinang mencatatkan kematian dilaporkan 18 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), 11 kes diikuti Sabah (13/9), Selangor (13/7), Johor (11/13), Perak (10/7), Sarawak (9/8) Terengganu (9/4), Kedah (8/4), Kelantan (5/3), Pahang (4/3), Kuala Lumpur (4/2), Perlis (3/2) dan Melaka (1/1) dan Negeri Sembilan (1/0).
Bagaimanapun Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu.
Utusan Online semalam melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 10,915 kes berbanding semalam, 11,889 kes sekali gus terus diatasi 15,396 kes sembuh.
“Kluster tempat kerja dan komuniti, masing-masing mencatatkan empat kluster Covid-19 daripada 10 kluster, dengan bakinya, dua kluster kumpulan berisiko tinggi,” katanya. – UTUSAN