ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sedang merangka program khas untuk membantu kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka akibat pandemik Covid-19 bagi memastikan kesejahteraan mereka terjamin.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu adalah antara titik fokus dalam perbincangan Retreat Belanjawan Johor 2022 yang diadakan pada 29 September lalu.
Menurut beliau, rancangan itu bagaimanapun ketika ini masih dalam peringkat memperhalusi beberapa pilihan yang ada.
“Ia bertujuan menjaga kebajikan anak-anak ini selain meringankan beban keluarga yang akan dipertanggungjawabkan.
“Anak-anak yatim atau yatim piatu ini perlu disantuni kerana mereka kehilangan ibu bapa dalam keadaan yang berbeza iaitu kerana musibah yang menimpa.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan memikirkan satu program khusus untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Modul Jauhar serta Majlis Perasmian Jauhar Child Care (JCC) di Kota Iskandar, di sini hari ini.