PRN: PDRM sedia tambah anggota ke Melaka - Utusan Malaysia

PRN: PDRM sedia tambah anggota ke Melaka

MAZLAN Lazim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesara polis sempena program sumbangan bakul makanan Tabung Wakalah menerusi kutipan zakat kepada pesara di Balai Polis Malim, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM)sedia menambah jumlah penugasan anggotanya ke Melaka bagi memastikan pilihan raya negeri (PRN) pada  20 November ini berjalan lancar. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini Melaka mempunyai seramai 280 anggota pasukan pematuhan penguatkuasaan undang-undang termasuk prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. 

“Kita akan membantu sepenuhnya pelaksanaan PRN. Buat masa ini kita memang bersiap siaga, kita menjalankan tugasan mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kini Melaka mempunyai seramai 280 pasukan pematuhan, jika perlu ditambah, kita akan tambah, tidak ada masalah,” katanya dalam sidang akhbar program sumbangan bakul makanan Tabung Wakalah menerusi kutipan zakat kepada pesara dan anggota asnaf polis di Balai Polis Malim, di sini hari ini. 

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Melaka diadakan pada 20 November, manakala 8 November sebagai hari penamaan calon.

Mazlan pada program tersebut turut menggesa pesara polis dan anggota yang menghadapi krisis kewangan seperti masalah keberhutangan tinggi tampil membuat permohonan bantuan di bawah Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP). 

Ujarnya, sehingga kini pihaknya hanya menerima sebanyak 1,635 permohonan berbanding jumlah pesara polis di seluruh negara iaitu kira-kira 42,000 orang. 

“Bantuan ini disediakan untuk lima kategori tuntutan iaitu Bantuan Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,500, Bantuan Pergerakan termasuk peralatan diperlukan untuk bergerak seperti kerusi roda (RM1,000) dan Bantuan Perubatan (RM5,000). 

“Mereka yang menghadapi masalah kewangan untuk pendidikan anak-anak juga boleh memohon di bawah Bantuan Pendidikan (RM3,000), manakala bagi bencana alam kita sediakan Bantuan Bencana Alam dengan jumlah maksimum RM10,000,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.