PRN Melaka: Tanpa UMNO, PN buat strategi sendiri - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Tanpa UMNO, PN buat strategi sendiri

HAMZAH Zainuddin ditemui pemberita di Kampung Sungai Ara, Kubu Gajah dekat Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Perikatan Nasional (PN) akan merangka strategi sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setelah UMNO enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk PRN negeri itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan PN termasuk Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka hanya akan memecah belahkan rakyat.

“Jika dia (UMNO) tidak mahu bekerjasama, maka sebagai Setiausaha Agung PN, kami akan melakukan mengikut strategi PN sendiri.

“Beliau (UMNO) tidak mahu untuk duduk (bersama PN), saya pulangkan perkara itu kepada pemimpin-pemimpin PN untuk duduk berbincang bagi menentukan masa depan rakyat terutamanya rakyat Melaka sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas penyerahan kotak makanan dan program ramah mesra bersama penduduk di Kampung Sungai Ara, Kubu Gajah dekat sini hari ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, rakyat tidak mahu melihat pemimpin parti politik yang hanya pandai bercakap hingga sebabkan perpecahan.

Menurutnya, rakyat mahukan pemimpin yang sentiasa mahukan penyatuan dalam kalangan rakyat.

“Dalam soal ini rakyatlah yang akan menentukan kedudukan pemimpin seperti itu nanti,” katanya.

Menurutnya, sekarang adalah masanya untuk rakyat menentukan masa depan kedudukan seorang pemimpin yang enggan bekerjasama dengan parti bangsa sendiri.

“Kalau seorang Presiden menganggap dirinya seorang pemimpin besar yang tidak mahu bekerjasama dengan bangsa sendiri, parti yang memperjuangkan nasib rakyat, maka terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan masa depannya.

“Yang penting PN bersedia hadapi untuk memilih pemimpin yang penuh berintegriti,” katanya. 

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN