KOTA BHARU: Pas berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat ditandingi semua parti yang membentuk kerajaan Pusat ketika ini secara muafakat tanpa berlaku sebarang pertembungan sesama sendiri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas sendiri berhasrat untuk mengambil bahagian dalam PRN tersebut namun jumlah kerusi yang bakal ditandingi serta senarai calon belum diputuskan.
“Umum tahu Kerajaan Persekutuan disertai pelbagai parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan lain-lain, jadi sebagaimana hasrat Pas, biarlah PRN ini berteraskan kepada muafakat sebagaimana kita dalam kerajaan.
“Harap semua parti itu bersatu, tidak ada pertembungan satu sama lain. Tidak timbul MN, tidak timbul PN, tetapi biarlah parti-parti yang mendukung Kerajaan Persekutuan berdepan lawan sama dalam PRN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke-54 di yang diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian membabitkan kira-kira 270 ahli di sini hari ini.
Mesyuarat itu dirasmikan secara maya oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Pas bertanding 23 daripada 28 kerusi secara sendirian di Melaka dan walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, parti itu merekodkan keputusan yang baik di beberapa DUN.
DUN Melaka terbubar pada 4 Oktober lalu selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali hilang sokongan susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.










